Rakaman Video Lucah Tersebar Salah Siapa
Petikan hmetro.com.my 23.2.2009
KUALA LUMPUR: Wanita yang menjadi mangsa rakaman lucah sehingga terpaksa menjadi hamba seks atau membayar wang ugutan tidak sewajarnya menyalah orang lain melainkan diri sendiri.
Ini kerana, mereka sanggup mengikut nafsu dan membelakangkan perkara diharamkan Islam dengan membiarkan teman lelaki melakukan zina serta merakam aksi ranjang sehingga terjerat apabila adegan itu disebarkan ke Internet.
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Mastura Badzis, berkata syariat Islam sudah lengkap dan amat menjaga martabat wanita, namun disebabkan cenderung dengan hasutan nafsu mereka sanggup menggadai maruah kepada lelaki yang tidak diketahui apa niatnya.
“Bagi saya ia lebih kepada individu itu sendiri, kenapa mereka sibuk hendak bergambar dengan teman lelaki.
PS:Janganlah takut akan tersebar video lucah, tetapi takutkanlah azab neraka Allah yang akan menimpa anda di akhirat kelak
baca artikel lagi…
“Sedangkan dalam Islam berdua-duaan dengan bukan muhrim dilarang inikan pula sehingga terlanjur, inilah punca kesilapan itu,” katanya yang dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Metro Ahad semalam mengenai fenomena rakaman gambar lucah yang akhirnya merangkap mangsanya khususnya wanita.
Mereka juga terpaksa menyara teman lelaki itu sebagai ganti tidak mahu rakaman itu disebarkan.
Apa yang membimbangkan, gejala merakam aksi lucah dan seks itu berlaku di kalangan pasangan bercinta, berkahwin, penuntut dan golongan eksekutif atau profesional.
Dr Mastura berkata, kaum wanita sepatutnya tidak terlalu mempercayai teman lelaki walaupun sebaik mana mereka dilayan sehinggalah berumah tangga.
“Sedangkan ada kes suami tergamak menjual isteri, inikan pula hanya berstatus teman lelaki yang tidak mempunyai sebarang ikatan.
“Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: ‘Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.’ (Surah al-Baqarah: 195).
“Perkara ini boleh disifatkan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan kerana sanggup membiarkan diri diperlakukan apa saja oleh teman lelaki sehingga akhirnya memusnahkan masa depan sendiri,” katanya.
Menurutnya, masalah sekarang adalah ramai umat Islam tidak mengikut syariat yang ditetapkan tetapi apabila berlaku sesuatu mereka menyalahkan agama.
“Masalah sebenarnya timbul apabila umat Islam tidak mengamalkan syariat, jadi nasihat saya kembalilah kepada Islam kerana agama ini sudah lengkap dan sempurna di dunia dan akhirat,” katanya.

