Remaja Perempuan Jadi Lauk Mat Gian
petikan harian metro
SEREMBAN: Nasib seorang remaja perempuan melayu boleh bagaikan terlepas daripada mulut harimau, masuk mulut buaya kerana selepas berusaha melarikan diri daripada menjadi mangsa gila seks bapa tirinya, dia terpaksa mengalami detik hitam dalam hidupnya apabila dirogol bergilir-gilir oleh beberapa lelaki termasuk rakannya.
Remaja berusia 16 tahun, mengaku lari dari rumah kerana tindakan bapa tirinya yang cuba merogolnya.
Dia kemudian mengikuti beberapa rakan lelaki dan duduk di sebuah rumah kosong di Sikamat, dekat sini, sejak lebih seminggu lalu.
Tindakannya lari dari rumah dan mengikuti rakan lelakinya itu dengan harapan nasibnya cerah, tidak kesampaian apabila dirogol lelaki berkenaan.
Menurut sumber, kejadian remaja itu dirogol bergilir-gilir oleh rakannya dan beberapa lelaki lain terbongkar apabila dia menceritakan perkara itu ketika soal siasat kepada pasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan yang mengadakan operasi membanteras aktiviti menghidu gam dan maksiat kalangan remaja di sebuah rumah kosong di Sikamat pada malam sambutan Krismas, lalu.
Menurutnya, dalam operasi itu pihak berkenaan menahan sembilan lelaki berusia lingkungan 20-an dipercayai terbabit dalam aktiviti maksiat dan hidu gam di sebuah rumah kosong yang dijadikan ‘port’ kegiatan tidak sihat termasuk mencuri motosikal.
“Ketika disoal, remaja perempuan turut menunjukkan lelaki yang merogolnya dan lelaki berkenaan juga mengaku pernah merogol remaja terbabit.
“Siasatan mendapati remaja perempuan berkenaan sudah berada di rumah berkenaan sejak lebih seminggu di bawah jagaan kumpulan lelaki terbabit sebelum semua mereka diberkas pada malam Krismas lalu,” katanya di sini, semalam.
Ketika serbuan jam 12.30 tengah malam itu, rumah kosong berkenaan dipenuhi peralatan menghidu gam dan kumpulan lelaki terbabit dipercayai menjadikannya tempat berkumpul.
Menurutnya, mereka dipercayai sudah menjalankan kegiatan tidak sihat itu sejak beberapa bulan lalu tanpa disedari penduduk sekeliling.
“Bagaimanapun aktiviti mereka dikesan selepas menerima aduan orang ramai hingga membawa kepada tindakan dan penahanan mereka,” katanya.
Semua lelaki berkenaan dan remaja perempuan terbabit diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di Seremban 2 untuk tindakan lanjut.
Pihaknya mengingatkan orang ramai supaya prihatin terhadap perkembangan yang berlaku di sekeliling dan segera melaporkan sebarang kegiatan tidak sihat supaya tindakan segera dapat diambil.
“Masyarakat turut bertanggungjawab membanteras kegiatan tidak sihat di kawasan mereka dengan melaporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.
